
PARIT: Seorang lagi mayat remaja yang hilang dihanyutkan arus Sungai Perak di Kampung Tepus di sini, semalam sudah ditemukan, mengakhiri operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sepanjang hari ini.
Mayat Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, dijumpai pada 7 malam tadi, beberapa jam selepas mayat rakannya, Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, ditemukan 4.40 petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon mengesahkan penemuan mayat kedua-dua mangsa yang hilang selepas dihanyutkan arus sungai.
Semalam, Muhammad Nazrin Haidar dan Muhammad Naufal Aiman, dikatakan bermain bola di kawasan padang berhampiran kawasan sungai itu sekitar 4 petang semalam.
Ketika kejadian, Muhammad Naufal Aiman terjun ke sungai untuk mengambil bola yang terjatuh di situ sebelum dihanyutkan arus sungai.
Melihat Muhammad Naufal Aiman terkapai-kapai di air, beberapa rakannya, termasuk Muhammad Nazrin Haidar cuba membantu dengan menghulurkan batang buluh.
Bagaimanapun, Muhammad Nazrin Haidar turut jatuh bersama ke sungai, menyebabkan kedua-dua rakan itu hilang dan lemas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.