TUMPAT: Mayat kedua membabitkan kejadian pacuan empat roda yang terbabas dan terhumban ke dalam sungai di Kampung Chenderong Kubu, di sini, ditemukan pada 10.54 pagi tadi.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Pacuan 4 roda terhumban dalam sungai, seorang maut seorang masih hilang
Sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjumpai mayat Eh Heak Eh Yek, 54, pada kedalaman empat meter di dasar sungai.
Dalam kejadian 1 pagi tadi, mangsa bersama sepupunya, Eh Bau Eh Di, 43, menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux terbabas lalu merempuh penghadang jambatan sebelum kenderaan itu terjunam ke dalam sungai.
Rakan mangsa, Faizuddin Ahmad, 39, meluahkan rasa lega apabila kedua-duanya ditemui walaupun jasad tidak bernyawa.
“Ketika kejadian awal pagi tadi, saya ada tidak jauh dari lokasi dan ternampak kenderaan yang dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai.
“Saya bergegas ke tebing sungai dan ingin terjun untuk menyelamatkan mereka, namun dihalang orang ramai kerana bimbang berlaku perkara lain,” katanya ketika ditemui, di sini.
Sebelum kejadian, dua sepupu itu dalam perjalanan pulang daripada menziarah ahli keluarga yang meninggal dunia di sebuah wat, di sini.
Terdahulu, mayat mangsa pertama dibawa ke tebing sungai pada 9.20 pagi dan kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Anuar Yacob berkata, mangsa kedua ditemukan terlekat di timbunan kayu di dasar sungai.
“Seramai sembilan anggota PPDA ditugaskan dalam operasi mencari dan menyelamat dengan dua daripada mereka menjalankan selaman.
“Selaman kali ketiga yang dijalankan menemui mangsa yang terlekat di timbunan kayu di dasar sungai dan mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis,” katanya.