Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Mayat kelapan tragedi Jeram Mawar, Blok 6 Sungai Air Putih, di sini ditemui. Mayat disahkan sebagai Putri Alleya Maisara Karim, 16 tahun ditemui jam 3.00 petang tadi.
Mayat ditemui di Sektor A operasi mencari dan menyelamat (SAR) 2 kilometer dari lokasi kejadian atau 500 meter dari kedudukan mayat kedua iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal, 11 tahun yang ditemukan pada Ahad.
Mayat Putri Alleya dilaporkan tersangkut di beting pasir, dua meter dari tebing sungai yang membentuk pulau kesan daripada kepala air.
Untuk rekod, mayat mangsa pertama Azizah Eiyi 40 tahun, ditemukan kira-kira jam 12.45 tengah hari Ahad kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian sebelum mayat anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal ditemukan empat jam kemudian, dua kilometer dari lokasi kejadian.
Artikel berkaitan: Kepala air Jeram Mawar paling dahsyat dan menggerunkan
Pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat semalam, mayat ketiga iaitu Muhammad Haziq Ziqree 6 tahun ditemukan pada jam 11.05 pagi, kira-kira 18 kilometer dari lokasi kejadian.
Sementara mayat keempat dan kelima iaitu Putri Aryana Umaira 4 tahun dan kakaknya Putri Nurerina Natasya 10 tahun ditemukan sejam kemudian iaitu kira-kira jam 12.05 tengah hari, pada timbunan kayu yang sama pada jarak enam kilometer.
Artikel berkaitan: Tragedi kepala air: Abang sedih, tidak sempat menyaksikan adik bersanding
Jam 3.15 petang, mayat bapa mereka, Karim Abdullah 39 tahun ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian manakala mayat ketujuh iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman18 tahun ditemui hari ini jam 7.45 pagi berhampiran sungai di belakang Masjid Kampung Dadong, iaitu kira-kira 24 kilometer.
Sehingga jam 4.15 petang tadi, dua lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin 14 tahun dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun masih belum ditemukan.