GUA MUSANG : Seorang guru wanita ditemui meninggal dunia akibat jangkitan kuman di rumahnya di kuarters guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya.
Mangsa, Siti Noor Ba’Ayah Mohd Husin, 43, ditemui dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah oleh rakannya jam 8.40 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa yang masih belum berkahwin, tinggal bersendirian di tingkat empat kuarters guru itu.
Mangsa mula mengajar di sekolah berkenaan pada Januari tahun lalu.
Menurutnya, kejadian disedari apabila seorang guru pergi ke rumah mangsa selepas dia tidak hadir bertugas.
“Apabila sampai di rumah mangsa, pengadu mengetuk pintu dan memberi salam, namun tiada jawapan.
“Pengadu meminta bantuan daripada seorang lagi guru wanita untuk membuka pintu rumah mangsa dengan kunci pendua.
“Selepas berjaya membuka pintu rumah, mereka mendapati mangsa tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang di ruang tamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah .
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang.
“Punca kematian mangsa disebabkan ‘Sepsis Secondary to Necrotizing Fascilitis’ atau jangkitan kuman yang teruk.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.