Oleh: Fazli Ahmad
MARAN: Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Afzan, Chenor yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang, Ahad lalu ditemui lemas tengah hari tadi.
Mayat mangsa ditemui tersangkut pada jaring kira-kira 300 meter dari rumah rakit di Jeti Chenor, dekat sini kira-kira jam 12:45 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, mengesahkan pertemuan mayat guru terbabit.
“Pengecaman pun dapat disahkan oleh keluarga dan saya akan maklumkan fakta kes sekejap lagi.” katanya ketika dihubungi.
Mangsa Murdani Abdul Rahman, 53, dilaporkan terjatuh ke Sungai Pahang ketika memancing bersama seorang rakan di rumah rakit dekat jeti Chenor, kira-kira jam 6 petang, Ahad lalu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.
Mangsa meninggalkan seorang balu, Nooradiwati Mohamed, bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jengka 19, serta empat anak berusia antara 17 dan 28 tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.