KUALA LIPIS: Mayat dua wanita penduduk Orang Asli Kampung Lenjang dan Kampung Sinderut di pedalaman Ulu Jelai, selamat dihantar pulang ke kampung masing-masing untuk disemadikan dari Unit Forensik, Hospital Kuala Lipis, pagi ini.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi, berkata mayat Wak Sai Bah Ema, 48, dihantar ke Kampung Lenjang menggunakan kenderaan JAKOA Pekan, pada jam 8.30 pagi.
Sementara mayat Erra Fazira Hamzah, 27, dihantar ke Kampung Sinderut menggunakan kenderaan JAKOA Cameron Highlands, pada jam 9.45 pagi.
Johari sehubungan itu berterima kasih kepada semua pihak yang membantu urusan penghantaran pulang kedua-dua mayat, termasuk Pejabat Menteri Besar Pahang melalui wakilnya di sini.
Terdahulu, mayat kedua-dua wanita Orang Asli itu tidak dapat dihantar pulang untuk disemadikan oleh ahli keluarga masing-masing berikutan tiada kenderaan pihak berkuasa berkaitan.
Suami mendiang Erra Fazira, Amri Bah Jong, berkata kediamannya di Kampung Sinderut, 170 kilometer dari sini, tidak dapat dihantar ke kampungnya untuk disemadikan kerana tiada kenderaan untuk menghantar mayat isterinya.
“Saya sudah tiga hari di sini, menunggu isteri sakit sebelum dia meninggal dunia awal pagi ini sehingga tiada wang lagi untuk digunakan bagi membayar sewa kenderaan.
“Mayat isteri saya sudah dibenarkan untuk dibawa pulang oleh pihak hospital tetapi tiada kenderaan pula untuk membawanya balik kerana tiada kenderaan untuk ke Kampung Sinderut,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lipis, semalam.