Tumpuan :
Nasional

Mayat ditemui selepas 7 hari hilang di sungai

Mayat Ahmad Khairul Nizam Sudin berusia 22 tahun yang dikhuatiri lemas sejak tujuh hari lalu ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian pada 1.25 petang, hari ini. – Foto bomba

Oleh: Fazli Ahmad

RAUB: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus di Sungai Lipis, Kampung Badang, Batu Talam, petang Selasa lalu, ditemui lemas tengah hari tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman, berkata mayat mangsa ditemui tertimbus pasir kira-kira jam 1 tengah hari.

“Dengan bantuan penduduk kampung, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menjalankan pencarian di tepi Sungai Lipis, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Selain pencarian di permukaan sungai, anggota bomba turut melakukan selaman skuba dan akhirnya menemui mayat mangsa tertimbus di dasar sungai,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada 4 Februari lalu, mangsa, Ahmad Khairul Nizam Sudin, 22, dihanyutkan arus ketika mandi di sungai bersama abangnya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini