comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat ditemui selepas 12 jam kemalangan

BATU PAHAT: Mayat seorang lelaki ditemukan selepas 12 jam terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Rahmat-Sri Gading di sini, pagi semalam.

Kejadian hanya disedari pengawal keselamatan sebuah ladang sawit di sini.

“Sebaik mahu buka pintu pagar, saya ternampak sebuah kereta terbabas dengan lampu masih menyala.

“Saya terus menghubungi polis memaklumkan perkara itu,” katanya.

Kemalangan dipercayai berlaku 10 malam kelmarin namun mayat mangsa, Lee Wee Sheng, 39, yang memandu Toyota Corolla hanya ditemukan pada 10 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa berseorangan dipercayai terbabas sebelum kereta dipandunya ‘melekat’ pada tembok simen dalam parit di ladang terbabit.

Pada masa sama, mayat pemandu kereta itu didapati sudah ‘keras’ selepas pasukan bomba dan penyelamat mengeluarkannya daripada tersepit di tempat duduk pemandu.

Pengawal keselamatan yang enggan dikenali itu berkata, dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kerana menyangka ada orang di dalamnya.

“Tidak lama kemudian, polis tiba di lokasi dan mendapati ada mangsa di dalamnya namun sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Jalan Kluang menghala ke Jalan Tanjung Laboh, di sini.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.

“Mangsa parah di kepala serta organ dalaman, meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan,” katanya.

Loading...
Terkini