comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat disimen, polis tahan warga asing dua lagi diburu

SHAH ALAM: Polis menahan lelaki warga asing, manakala dua lagi sedang diburu susulan penemuan mayat wanita yang ditanam dan disimen di sebuah rumah di Pandamaran, dekat sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, lelaki yang ditahan berusia 53 tahun dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Klang hari ini.

“Polis juga mengenal pasti dua suspek lelaki warga asing yang menyewa di rumah itu dan dipercayai terbabit dalam kes terbabit.

Mayat dipercayai wanita ditemui disimen dalam bilik air di rumah sewa.

“Polis kini sedang dalam tindakan mengesan kedua-dua suspek terbabit yang dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu Hussein berkata, polis menerima satu laporan dari seorang lelaki tempatan pada 10.58 malam, 3 Disember memaklumkan terdapat mayat di dalam kolah mandi bilik air rumah miliknya.

“Siasatan mendapati, pengadu pernah menyewakan rumahnya di Kampung Pendamar, di sini kepada dua lelaki warga asing selama dua tahun bermula Ogos 2019 hingga Oktober 2021.

Foto ihsan: PDRM

“Sebelum menyewakan rumah itu kepada orang lain pengadu membuat pemeriksaan di kolah mandi di dalam bilik air dan ia disimen,” katanya.

Beliau berkata, menurut pengadu penyewa warga asing memberikan alasan air dari bangkai tikus mengalir masuk ke dalam kolah mandi itu.

“Jadi, tanpa mengesyaki apa-apa, pengadu menyewakan rumah itu kepada penyewa lain,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pada November lalu, pengadu meminta seorang lelaki warga asing membaiki bumbung rumah itu.

“Semasa membayar gaji kerja pembaikan, lelaki berkenaan memberitahu pengadu terdapat mayat di dalam kolam mandi itu.

“Tetapi lelaki yang memberikan maklumat itu sudah balik ke negara asal. Jadi, bagi mengesahkan maklumat itu, pengadu membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis bersama bomba, unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Selangor ke lokasi kejadian,” katanya.

Katanya, selepas simen di kolah mandi dipecahkan, satu mayat wanita dewasa ditemui dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada 6 Disember.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini