BACHOK: Mayat kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang lemas di Pantai Kandis ditemui selepas 16 jam hilang di Pantai Pok, Pulau Kambing.
Mayat Muhammad Naufal Arsyad Muhammad Aiman Hafiz ditemui kira-kira tujuh kilometer daripada lokasi dilaporkan lemas di Pantai Kandis.
Ketua Polis Daerah Bachok Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mayat mangsa ditemui jam 11.15 pagi tadi.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati ketika mengunjungi pantai terutamanya ketika cuaca hujan dan musim tengkujuh yang masih berlangsung,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, penduduk kampung, Muhamad Zulkhairi Mohammad Zu, 23, berkata mayat kanak-kanak berkenaan ditemui sepupunya, Azmi Shairi Ismail@Hussim, 30-an.
Katanya, ketika itu dia dan sepupu serta beberapa penduduk kampung yang lain meninjau sekitar Pantai Pok berdekatan rumah mereka selepas kes lemas kanak-kanak itu tular.
“Kami memang niat nak bantu cari mangsa dan sepupu nampak ada mayat terapung tengah laut yang dibawa arus sehingga ke pesisir pantai, selepas itu kami maklumkan penemuan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, kanak-kanak itu dipercayai lemas jam 6.55 petang semalam ketika bersiar-siar di Pantai Kandis bersama ibu dan ahli keluarga serta jiran.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.