Tumpuan :
Nasional

Mayat berulat dijumpai dalam kereta di premis jual kereta terpakai

Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan mereput dalam sebuah kereta yang diletakkan di premis menjual kereta terpakai di Pasir Puteh, di sini, pagi tadi. – Foto ihsan pembaca

IPOH: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan mereput dalam sebuah kereta yang diletakkan di premis menjual kereta terpakai di Pasir Puteh, di sini, pagi tadi.

Mayat tanpa identiti itu ditemukan terbaring di tempat duduk belakang sebuah Proton Wira warna hitam bernombor pendaftaran WJG 7903, dalam keadaan pintu berkunci dari dalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata panggilan telefon berhubung penemuan mayat itu diterima daripada panggilan telefon melalui kaunter Balai Polis Pasir Puteh kira-kira jam 11.51 pagi tadi.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan selepas pintu kereta yang terkunci dari dalam itu dapat dibuka, bagaimanapun mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian, membusuk dan berulat.

“Tiada butiran lanjut mengenai si mati diperoleh seperti nama, pengenalan, bangsa, umur, dan pekerjaannya melainkan mayat itu dikenal pasti sebagai lelaki,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemeriksaan badan terhadap si mati juga tidak dapat dilakukan memandangkan keadaannya yang sudah bertukar hitam dan berulat.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk pengesahan identiti ternasuk dengan mendapatkan cap jari, dengan poses bedah siasat akan turut dibuat sekitar 9.30 pagi Isnin ini (15 Januari).

Yahaya berkata, kes setakat ini diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Loading...
Terkini