ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang juga bekas komando ditemukan lemas di tasik dalam kawasan rizab hutan simpan, Sungai Udang, di sini, semalam.
Mangsa berusia 42 tahun ditemui terapung oleh dua remaja berusia 14 tahun yang pergi ke lokasi berkenaan untuk memancing, pada 5 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua remaja itu kemudian menceritakan kejadian kepada bapa mereka yang kemudian menghubungi pihak polis.
“Siasatan mendapati mayat lelaki itu disyaki lemas dan terapung kira-kira 30 meter dari dataran.
“Siasatan mendapati penduduk sekitar juga tidak mengetahui bila lelaki itu datang ke tasik terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan mendapati lelaki itu adalah bekas anggota komando Kem Sungai Udang yang sudah diberhentikan kerja dan baru sebulan bercerai dengan isterinya.
Katanya, kali terakhir lelaki itu berkomunikasi dengan bekas isterinya melalui panggilan telefon jam 9 pagi Jumaat lalu dan dikatakan tidak mempunyai sebarang penyakit.
Katanya, lelaki berkenaan bekerja di kandang kambing yang terletak sebelah tasik.
Menurutnya, mayat dinaikkan dengan bantuan sembilan anggota bomba.
Arshad berkata, siasatan kes turut dibantu Cawangan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mendapati tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa.
“Mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat mendapati punca kematiannya kerana salur darah menyempit dan kematian berkaitan tenggelam.
“Pemeriksaan luaran dan dalaman tidak menjumpai sebarang kecederaan dan polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah, dengan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.