KUALA LUMPUR: Mayat bayi perempuan ditemui berhampiran Surau Al-Hidayah di Kampung Melayu, dekat pekan Rawang, Selangor petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata, mayat bayi itu ditemui kira-kira jam 2.36 petang di dalam kawasan surau tersebut.
“Siasatan awal mendapati bayi terbabit berpakaian putih dengan perkataan ‘Pureen’ dan dibalut selimut. Bayi tersebut masih mempunyai tali pusat yang belum dipotong.
“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama bayi berkenaan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara rahsia.
Ariffin menggesa mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat mengenainya supaya tampil.
“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Siti Khatijah Ibrahim di talian 010-9073483 atau bilik gerakan polis daerah Gombak di 03-61262222,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.