KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah membuka siasatan terhadap MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) dan memberi surat tunjuk sebab kepada syarikat penerbangan itu susulan pengumuman penangguhan operasinya pada 12 Oktober 2023.
Surat tunjuk sebab dikeluarkan pada 13 Oktober lalu menyatakan kegagalan MYAirline untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Perkhidmatan Udara (ASL), termasuk pembayaran gaji dan faedah pekerja yang masih belum dijelaskan.
MYAirline diperintah untuk mengemukakan penjelasan bertulis sebelum 27 Oktober 2023.
Sebaik menerima penjelasan bertulis MYAirline, Mavcom akan menilai sama ada syarikat penerbangan itu layak untuk kekal sebagai pemegang ASL, atau sama ada ASL MYAirline harus digantung atau dibatalkan mengikut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].
Maklumat berkaitan siasatan itu akan diumumkan minggu depan.
Berkaitan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas, Macvom berkata pihaknya telah berhubung dengan pelbagai agensi termasuk Bank Negara (BNM) untuk mengusahakan semua pilihan yang berkemungkinan dalam mendapatkan bayaran balik bagi pengguna.
“Mavcom akan memaklumkan sebarang kemaskini dengan bayaran balik sewajarnya,” kata suruhanjaya itu.
Sementara itu, Mavcom telah menubuhkan Pasukan Petugas melibatkan seorang Ahli Suruhanjaya, Anggota-anggota Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Penyelesaian Pertikaian, serta Jawatankuasa Perlindungan Pengguna.
Pasukan berkenaan diberi mandat untuk menyiasat bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberi cadangan mengenai langkah seterusnya.
“Walaupun rangka kerja kelulusan pelesenan sedia ada yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah komprehensif, Pasukan Petugas akan turut menyemak semula rangka berkenaan bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.