comscore
Tumpuan :
Nasional

Maut sehari selepas lesen memandu tamat tempoh

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Seorang pekerja pasar raya terbunuh selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kuantan-Sungai Lembing dekat Taman Impian, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata nahas kira-kira jam 8.30 pagi menyebabkan pemandu Proton Iswara, Muhammad Daniel Haiqal Yusdi, 24, tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, siasatan mendapati lesen memandu Kelas B2 dan D milik Muhammad Daniel Haiqal tamat tempoh pada 23 Disember 2023 iaitu semalam.

“Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Lembing ke Kuantan manakala Honda HR-V dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, Proton Iswara terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan SUV dinaiki empat sekeluarga.

“Akibat kemalangan itu, Muhammad Daniel Haiqal tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu Honda HR-V serta tiga penumpangnya cedera.

Wan Mohd Zahari berkata, punca sebenar kemalangan sedang disiasat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini