JOHOR BAHRU: Seorang pekerja warga asing yang sedang membaiki jalan maut dirempuh kereta yang terbabas di Jalan Senibong di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.35 pagi.
Beliau berkata, sebuah jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dengan kekuatan sembilan anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Shafie Md Don.
“Kemalangan membabitkan Perodua Alza yang terbabas merempuh seorang pekerja yang bertugas membaiki jalan.
“Pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 52 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Manakala lelaki yang dirempuh tersepit di bawah kereta dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan operasi tamat pada jam 7.11 pagi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.