Tumpuan :
Nasional

Maulidur Rasul agenda penyatuan ummah MADANI

Oleh: Prof. Madya Dr. Khadher Ahmad

Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun merupakan tarikh yang diingati sebagai tarikh menyambut kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Walau bagaimanapun, Rabiulawal bukanlah semata-mata bulan kelahiran baginda sahaja, kerana terdapat beberapa peristiwa lain yang boleh dijadikan pengajaran kepada kita semua.

Antara peristiwa penting yang turut berlaku pada bulan tersebut ialah perkahwinan baginda dengan Khadijah binti Khuwailid pada 10 Rabiulawal dan baginda juga diangkat sebagai Rasul pada 1 Rabiulawal ketika berusia 40 tahun.

Baginda turut diceritakan bersembunyi di Gua Hira’ pada 2, 3 dan 4 Rabiulawal dan berhijrah ke Yathrib (kemudian dinamakan Madinah) pada 8 hingga 12 Rabiulawal.

Pada bulan yang sama juga sebelum tiba di Yathrib, baginda telah membina Masjid Quba’ yang merupakan masjid pertama dalam sejarah Islam yang jatuh pada 8 Rabiulawal.

Lalu baginda tiba di Kota Yathrib ketika itu pada 12 Rabiulawal yang jatuh pada hari Jumaat dan baginda menunaikan solat Jumaat pertama di sana.

Demikian juga disebutkan bahawa baginda wafat pada 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah (yang bersamaan dengan 7 Jun 632 Masihi) di rumah Aisyah, selepas baginda sakit selama 13 hari.

Dalam erti kata lain, apabila mengaitkan bulan sambutan Maulidur Rasul ini, kita bukan semata-mata mengenangkan peristiwa kelahiran Rasulullah SAW sahaja, tetapi turut mengundang banyak lagi peristiwa penting kepada umat Islam untuk dihayati.

Kalau dilihat kepada peristiwa hijrah yang juga berlaku dalam bulan kelahiran Rasulullah SAW, antaranya yang kita semua maklum, hijrah Nabi SAW dan umat Islam dari Kota Mekah ke Kota Madinah (ketika itu namanya Yathrib) adalah merupakan satu arahan daripada Allah.

Kesan daripada hijrah ini telah menjadikan umat Islam lebih kuat sehingga Nabi SAW sendiri dilantik sebagai pemimpin, dan baginda telah berjaya dalam menyatukan seluruh kaum dan suku yang ada di Madinah ketika itu di bawah satu payung negara Islam yang satu.

Baginda turut mempersaudarakan antara kaum Muhajirin (yang berhijrah bersama Rasulullah SAW) dengan Ansar (penduduk Islam Madinah yang membantu golongan Muhajirin) sehingga diletakkan taraf sebagai seorang saudara kandung. Kesatuan dalam kalangan orang Islam di bawah payungan Rasulullah SAW sendiri menjadikan, orang bukan Islam dari kalangan Yahudi ketika itu turut akur dengan kepimpinan Nabi SAW.

Natijahnya, lahirlah sebuah kerajaan Islam yang agung di mana selepas itu Islam terus berkembang dan menguasai hampir keseluruhan dunia. Tidak lain melainkan asas utamanya adalah bagaimana proses penyatuan masyarakat yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Hal ini sesuai dengan keterangan yang difahami daripada ayat 103 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya” (Ali Imran, 3: 103).

Dari ayat ini jelas bahawa Rasulullah SAW yang memainkan peranan penting sebagai utasan Allah SWT untuk merealisasikan agenda perpaduan tersebut. Bukan itu sahaja, apabila kita memperhatikan sirah Rasulullah SAW, sejak awal lagi baginda telah menunjukkan diri sebagai seseorang yang mampu untuk menyatupadukan masyarakat yang berpecah-belah.

Antara agenda penyatuan yang pernah ditunjukkan oleh baginda adalah apabila dipilih sebagai seorang yang menjadi hakim (orang yang memutuskan suatu ketetapan) terhadap permasalahan yang dihadapi. Dalam isu perletakkan kembali Hajar al-Aswad di Kaabah, masing-masing kabilah Quraish yang berada di Mekah ketika itu menyatakan bahawa mereka ada hak untuk meletakkan batu hitam berkenaan kembali ketempat asalnya. Lalu berlakulah perebutan dan pertelingkahan sehingga dalam tempoh 3 hingga 4 hari sesama mereka tanpa ada penyelesian.

Disebutkan bahawa Abu Ummayyah bin al-Mughirah al-Makhzumi yang merupakan seorang yang dihormati ketika itu mencadangkan agar mereka melantik hakim yang dipersetujui bersama untuk memberi kata putus.

Mereka menetapkan bahawa orang pertama yang masuk ke kawasan Kaabah tersebut akan menjadi hakim. Maka tidak lain melainkan Rasulullah SAW yang ketika itu berusia 35 tahun dan masih belum diangkat menjadi rasul, telah dipilih untuk menjadi hakim bagi memutuskan perletakan Hajar al-Aswad tersebut. Di sinilah kita memahami bahawa diri Rasulullah SAW itu telah pun dipimpin oleh Allah SWT sebagai seseorang yang menjadi penyatu dalam masyarakat sejak sebelum kerasulan baginda lagi.

Kita sebagai umat baginda sudah pasti perlu memahami dan menghayati sirah tersebut kerana di sana ada panduan perjalanan kehidupan kita semua. Usahlah dibiarkan perbezaan politik menjadi penghalang kepada penyatuan umat Islam pada hari ini khususnya di Malaysia ini. Para pemimpin dari kalangan orang Islam, perlu mengambil berat dalam soal kepimpinannya kerana tanggungjawabnya adalah sangat berat.

Disebutkan oleh Rasulullah SAW bahawa kepimpinan adalah satu tanggungjawab yang berat dan setiap orang merupakan pemimpin mengikut peranannya masing-masing. Daripada Abdullah bin ‘Umar RA, daripada Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Setiap kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang yang dipimpinnya; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; khadam pula diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (HR Muslim, no. hadith 3408).

Dengan itu, dalam merealisasikan Malaysia MADANI ini, sudah pasti pembangunan yang akan dilakukan perlu menjadikan Rasulullah SAW sebagai suri teladan dalam pelbagai aspek dan sudut.

Ia melibatkan dalam urusan tatakelola negara, soal ekonomi, soal kerjasama serantau, soal pembangunan masyarakat, pembangunan pendidikan dan sebagainya lagi. Namun, apa yang penting dan perlu diberikan perhatian adalah menjadikan masyarakat sebagai ummah madani yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negara Madani ini.

Dengan adanya agenda penyatuan ummah Madani ini, secara langsung akan dapat merealisasikan apa yang dibawa pada ketika ini supaya semua pihak sama-sama dapat menikmati nilai kehidupan yang sama untuk manfaat bersama tanpa meninggalkan mana-mana golongan.

Akhirnya, sempena dengan bulan kelahiran junjungan mulia ini, setidak-tidaknya kita faham dan sentiasa ingat bahawa dengan adanya Rasulullah SAW itulah yang menjadi penyebab utama kita dapat apa yang kita sedang rasai kini. Kalau tidak kerana baginda, mungkin kita hidup tanpa ada ketamadunan, tanpa ada peraturan, kehidupan masih kucar kacir, tiadanya kasih sayang, dan tiada segalanya.

Paling tepatlah untuk dikatakan bahawa agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah gaya kehidupan yang paling ideal untuk semua umat manusia, zaman berzaman.

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected].

Artikel ini hanya pandangan peribadi penulis.

Loading...
Terkini