comscore
Tumpuan :
Nasional

Matrikulasi: PM nafi jual maruah orang Melayu, tempelak tuduhan apartheid puak pelampau

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kerajaan menjual maruah orang Melayu apabila membuat keputusan memberi jaminan tempat kepada calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa mengira kaum atau latar belakang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan keadilan dengan memberi ruang dan peluang kepada mereka yang layak tanpa mengenepikan kuota Bumiputera yang dijamin dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Dua hari lalu, saya umumkan (keputusan mengenai) matrikulasi, itu pun jadi isu politik, dia kata saya jual maruah Melayu. Apa yang saya umumkan ialah anak-anak kita, Melayu, Cina, India, Kadazan Dusun, Murut, Bajau, saya kalau jadi ketua, ini anak-anak kita.

“Kalau anak-anak kita catat keputusan yang sangat cemerlang, ada anak orang kaya di Bangsar dan Dungun, ada yang dari Manek Urai dan Kapit yang catat 10A. Ada anak India dari estet.

“Jadi saya tanya KPM (Kementerian Pendidikan) dan KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi), boleh tak? Jadi kita bincang dalam Jemaah Menteri minggu lalu, boleh. Maknanya anak-anak yang dapat 10A, kita jamin tempat yang dia pilih matrikulasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar menempelak tuduhan segelintir puak pelampau yang mendakwa beliau seorang yang rasis dan mengamalkan dasar apartheid Bumiputera.

Beliau meminta golongan berkenaan untuk bertanyakan pada hati nurani masing-masing sama ada tindakan yang dilaksanakan kerajaan adalah adil dan baik untuk calon yang layak.

Jelasnya, jika adil, maka ia perlu diteruskan.

“Tak salah jadi elit, tetapi biar ada prihatin, tahu masalah… Dari sekolah terbaik dengan kemudahan yang lengkap kepada sekolah dengan kemudahan yang kurang dan anda mahu bersaing secara adil?

“Mana yang cemerlang, bagi ruang tapi jangan lupa yang di bawah yang tak mungkin cemerlang, kerana komputer pun tidak ada, makmal sains pun tidak ada, kemudian kita nak hukum dia selama-lamanya? Tidak boleh, kita kena bagi ruang supaya dia boleh terangkat dan memungkinkan apa yang disebut mobiliti sosial dalam hidup dia.

“Kalau kita ambil umpamanya jaga Bumiputera sahaja tapi anak India yang miskin di estet dapat 10A diketepikan, itu tak jadi apa-apa dan kalau kita hanya fikir meritokrasi dan tidak fikir kesaksamaan, itu tidak adil. Mari kita mengemudi perkara ini dengan berhati-hati dan cuba untuk mencapainya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini