comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Matrikulasi: PM beri jaminan kuota Bumiputera kekal


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kuota pelajar Bumiputera sedia ada untuk melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, kekal.

Perdana Menteri berkata, ini kerana ia termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan jaminan masa depan golongan Bumiputera supaya tidak berlaku kesenjangan dalam sistem pendidikan negara.

“Saudara minta orang (pelajar) sekolah Manek Urai (Kelantan) bersaing dengan Kolej Melayu (Kuala Kangsar, Perak) atau (sekolah) Chung Ling (Pulau Pinang) dengan prasarana siap di bandar dan sekolah yang terbaik dan minta bersaing dengan sekolah menengah di Kapit (Sarawak), tentu itu bukan keadilan.

“Kena ingat sementara kita setuju prinsip meritokrasi, kita juga harus pertahan prinsip keadilan. Kalau kita tekan merit sahaja, maka orang yang terpinggir, miskin akan kekal dalam keadaan sedemikian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai di Dewan De’ Seri Endon PUSPANITAPURI, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Semalam, Anwar dilapor berkata, kerajaan memberi jaminan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, menurut Perdana Menteri, sementara sistem meritokrasi dipertahankan bagaimanapun beliau tidak mahu ia menjadi ideologi yang ketat.

Ujarnya, kerajaan akan memberi galakan kepada pelajar yang terbaik dan terpintar namun tidak meminggirkan pelajar yang miskin serta tersisih.

“Saya lihat anak orang besar pergi sekolah terbaik di dunia, balik menjadi seorang profesional dan intelektual. Dia pertahankan golongan elit di atas itu, saudara lihat mereka kebetulan lebih pintar menulis.

“Jadi siapa yang akan wakili bagi rakyat yang tersisih, terbiar dan terpinggir ini. Siapa nak jadi wakil bagi rakyat yang susah… Saya tidak mahu ‘apologetic’ (minta maaf) dalam pertahankan ini,” katanya.

Anwar berharap dengan keputusan kerajaan dan penjelasan beliau mengenai matrikulasi akan meredakan suhu ketegangan yang dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM) hampir setiap tahun, yang kadang-kadang menghangatkan suhu politik serta menyebabkan ketegangan kaum dan sosial.

“Oleh kerana kita ada kuota Bumiputera, kadang-kadang dijadikan isu yang agak keterlaluan, di satu pihak nak menafikan hak minoriti. Di satu pihak pula nak mempertikai prinsip Perlembagaan dan jaminan kepada Bumiputera terutama yang secara relatifnya dalam kedudukan lebih rendah kerana kemudahan di desa atau miskin bandar.

“Maka kita ambil jalan yang kita anggap adil dan munasabah, kalau dia rakyat dan warga negara kita, kita harus pelihara. Kita juga menerima kenyataan tentang meritokrasi, maka siapa dapat 10A tanpa mengira kaum dan wilayah, kita berikan jaminan tempat di matrikulasi,” katanya.

Tambahnya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan mengumumkan perincian tersebut hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau cenderung untuk mempertahankan kerelevanan dan kaitan di antara sastera dalam kehidupan.

Menurutnya, seperti puisi, ia adalah pencernaan dari hati nurani yang dilakar oleh penulis dengan menggunakan bahasa terpilih dan indah.

“Sekiranya dihadam, ia tentunya akan mencuit perasaan dan mengetuk pintu hati, (bagi) yang ada hati, kalau tiada hati ‘hang’ (kamu) ketuk mana pun dia tak beri kesan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini