comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mat Sabu kini bergelar Datuk Seri

 

KUALA LUMPUR: Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengetuai senarai 164 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Wilayah Persekutuan 2023 hari ini.Mohamad, 69, menerima Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama enam lagi penerima darjah kebesaran itu.

Turut berangkat pada istiadat pengurniaan yang berlangsung di Istana Negara ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

FOTO: NSTP

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta menteri-menteri Kabinet.

Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, enam lagi penerima SMW yang juga Darjah Kebesaran Pangkat Kedua ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris; Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Eng Wei Chun dan Pengarah Eksekutif Amechanus Holdings Sdn Bhd, Datuk Seri Lawrence Yeo Chua Poh.

Sementara itu, 15 individu dianugerahkan Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk antaranya Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri, Datuk Toisin Gantor; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Turut dikurniakan PMW ialah Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Md Shah Mahmood; Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran dan Presiden UDA Holdings Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd Salem Kailany.

Beberapa ahli sukan turut menerima PMW sebagai mengiktiraf sumbangan mereka kepada negara iaitu bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Lim Teong Kim; bekas ratu boling negara, Datuk Shalin Zulkifli; atlet bina badan Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan bekas Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Karate Malaysia Datuk P Arivalagan.

Pada istiadat hari ini, 16 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW); 19 dikurniakan Kesatria Mahkota Wilayah (KMW); 15 dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda, menitahkan kerajaan agar melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.

Seri Paduka berharap bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan, termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta yang kurang berkemampuan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa gusar berhubung banjir kilat yang sering melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang menurut Seri Paduka, harus ditangani segera kerana kejadian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat, malah boleh menjejaskan kerancakan pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, pembangunan hendaklah sentiasa seiringan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan di kawasan tinggi serta berbukit, termasuk di kawasan yang menjadi tadahan hujan haruslah turut dikawal selia,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan atas usaha proaktif serta inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan dalam meningkatkan taraf hidup dan meringankan beban warganya melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya semua menteri, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

“Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah usaha ini termasuk pemberian bantuan kebajikan rakyat miskin dan terjejas pendapatan, usaha pembasmian miskin tegar bandar dan strategi penyediaan kediaman yang selesa untuk warga berpendapatan rendah.

“Beta juga amat bersyukur dengan komitmen kerajaan beta dalam menjaga kemaslahatan rakyat beta, khususnya dalam menangani isu-isu semasa yang secara tidak langsung merangsang pengukuhan sosio dan ekonomi rakyat beta.

“Pelbagai pembaharuan akan turut dilaksanakan dengan berpegang kepada prinsip menjaga kebajikan rakyat, mengeratkan perpaduan, meringan dan menaikkan taraf hidup rakyat beta di Wilayah Persekutuan,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentukan kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita terhadap komitmen Anwar untuk menerapkan nilai-nilai integriti dalam kerajaan dan usaha segera untuk merungkai permasalahan ekonomi yang dihadapi rakyat. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini