KUALA LUMPUR : Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London meninggal dunia.
Menerusi hantaran facebook anaknya Salmany Akir Ahmad kira-kira 6.30 pagi tadi, beliau memaklumkan bapanya menghembuskan nafas terakhir jam 5.57 pagi.
“Sesudah laungan azan subuh…..papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi pagi jumaat.”
Menurut Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Taman Melawati pagi ini dan akan dikebumikan selepas solat Jumaat.
Mat London sebelum ini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur HKL sejak 13 Jun lalu akibat jangkitan paru-paru.
Dalam tempoh rawatan, pelakon itu bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen dan berada di wad pengasingan Unit Rawatan Rapi (ICU) selain mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain yang turut menjejaskan kesihatannya.