Tumpuan :
Nasional

Masyarakat India harap Ponggal bawa limpahan rezeki, kemakmuran

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Ponggal yang diraikan bagi mensyukuri limpahan rezeki setiap kali berakirnya musim menuai, kini menjadi satu perayaan perayaan yang signifikan kepada masyarakat India.

Diraikan pada hari pertama bulan “Thai” dalam kalender masyarakat Tamil, sambutannya meriah diadakan pada skala kecil di rumah, atau diraikan bersama komuniti di premis awam termasuk di kuil.

Di Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniam di Gunung Cheroh, sambutan diadakan mengikut kepercayaan masyarakat Hindu dengan menzahirkan kesyukuran kepada Dewa Matahari, seawal jam 7.30 pagi.

K.Selvanesan yang ditemui Buletin TV3 berkata, sambutan ini juga adalah bagi mendoakan kesejahteraan bagi tahun mendatang.

“Kita mensyukuri apa yang telah diperoleh pada tahun terdahulu, dan kita mengharapkan tahun ini akan membawa limpahan rahmat berganda kepada komuniti. Saya juga menharapkan sambutan ini membentuk diri seseorang menjadi lebih baik secara rohani juga.”

Bagi S.Selvalegi, sambutan ponggal tahun ini dirasakan lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Misalnya di kuil ini, sambutannya nampak lebih meriah. Saya mendoakan agar saya boleh mencapai lebih banyak kejayaan samada dalam bidang kerjaya dan diri sendiri.”

Ponggal secara tradisinya diraikan dengan memasak nasi manis, menggunakan padi yang baru dituai.

Ketika susu melimpah, seruan “Ponggalo Ponggal” disebut sebanyak tiga kali bagi mengambarkan limpahan rezeki yang telah dan akan diperoleh.

Sambutan ini diadakan selama empat bermula dengan Boghi, diikuti upacara kemuncak “Thai Ponggal”, diikuti “Maatu Ponggal” dan “Kanni Ponggal”.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini