comscore
Tumpuan :
Nasional

Masyarakat diseru main peranan hindari penggunaan plastik 

Foto hiasan

Oleh: Fatin Hanani Sahimi & Syafiqah Damanhuri 

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyeru masyarakat memainkan peranan penting bagi menangani isu mikroplastik dalam sumber air minuman dan makanan yang semakin membimbangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, meskipun setakat ini tiada undang-undang khusus mengenai  isu pembuangan plastik, namun usaha itu perlu diambil perhatian semua pihak terutamanya kepada sektor perniagaan produk dan industri.

“Perundangan melibatkan pelbagai kementerian sebab itu saya kira langkah seterusnya melibatkan semua kementerian untuk melihat apakah bahan pencemar baharu yang wujud di negara kita, termasuk mikroplastik dan bagaimana ia memberi kesan kepada masyarakat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rompin Abdul Khalib Abdullah mengenai adakah wujud kajian yang dilaksanakan oleh kementerian dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi membangunkan undang-undang khusus isu pembuangan plastik serta mengurangkan plastik sekali pakai, tidak terbiodegradasi secara berfasa.

Jelasnya kementerian mempunyai perundangan termasuk pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  dan bidang kuasa itu perlu diselaraskan.

“Tindakan bersepadu bersama semua kementerian perlu diambil bagi mengenalpasti bahan pencemar baharu, tindakan yang boleh dilakukan, dan langkah pencegahan bagi menangani kesannya kepada kesihatan masyarakat,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam usaha memperluas penyelidikan berkaitan kehadiran bahan cemar baharu mikroplastik dalam sumber air di Malaysia, lima langkah diambil antaranya penggunaan dokumen bahan cemar baharu sebagai dokumen asas menyebarkan pengetahuan dan kesedaran berhubung pencemaran mikroplastik.

Antara lain, pembentukan Jawatankuasa Khas, penambahbaikan Piawaian Kualiti Air Mentah Malaysia, mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pembangunan Standard Operating Procedure (SOP) bagi persampelan mikroplastik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini