comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Masjid terbakar dipercayai angkara khianat

Mat Sunari melihat permaidani yang musnah selepas Masjid Kampung Parit Simis, dekat Sri Medan, terbakar malam tadi. Foto NSTP

BATU PAHAT: Masjid Kampung Parit Simis dekat Sri Medan di sini rosak teruk kerana terbakar. Kejadian dipercayai ada kaitan dengan perbuatan khianat dan berlaku pada kira-kira jam 10.46 malam tadi.

Kerugian dianggarkan lebih RM150,000.

Menurut Pengerusi Masjid Kampung Parit Simis, Mat Sunari Paiman insiden itu disedari oleh salah seorang rakannya yang berhenti kerana mahu membuang air di masjid itu.

Rakannya ketika itu baharu pulang daripada makan malam bersama isterinya di luar.

“Dia (rakan) nampak api dalam ruang solat jemaah masjid dan berpatah balik memberitahu penduduk,” katanya.

Tambah Mat Sunari, rakannya itu bersama penduduk kemudian bekerjasama memadam kebakaran itu.

Jelasnya lagi, dia ketika itu tidak berada di kampung kerana ada urusan lain.

“Apa yang menghairankan ialah bomba yang tiba di lokasi mendapati ada bau petrol dan sudah mengambil sampel untuk dianalisa.”

“Yang menyedihkan ialah lapan penghawa dingin yang baru dipasang tidak sampai sebulan turut musnah. Mimbar untuk kegunaan membaca khutbah yang tidak sampai setahun dipasang juga musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Katanya lagi, kesan petrol juga ditemui bawah permaidani oleh pasukan bomba yang menjalankan siasatan selain lidi penyapu yang dipercayai digunakan untuk menyalakan api.

“Yang saya hairan adalah kenapa penyapu lidi terbakar turut berada atas permaidani. Kalau kita selak permaidani ini, masih ada bau petrol,” ujarnya.

Difahamkan, masjid itu siap pada November 2022 sebelum digunakan oleh jemaah.

Namun, ia kembali ditutup selepas banjir besar melanda daerah ini pada Mac tahun lalu disebabkan air memasuki ruang solat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata polis menerima laporan kebakaran itu pada jam 11.30 malam.

Katanya, penduduk kampung berhampiran bertungkus-lumus membantu memadam kebakaran dengan mengunakan air dan api berjaya dipadamkan 15 minit kemudiannya.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada permaidani, sejadah, pendingin udara dan mimbar masjid terbakar. Siasatan masih dijalankan bagi mengesan jika terdapat unsur jenayah,” katanya.

Loading...
Terkini