Tumpuan :
Nasional

Masjid Dan Pembangunan Kampung Laut Dicalon Tapak Warisan Kebangsaan Dan Dunia

Masjid Kampung Laut berusia lebih 300 tahun dan pembangunan Kampung Laut sebagai kampung warisan, di Tumpat, Kelantan, telah dicalonkan sebagai objek dan tapak warisan kebangsaan seterusnya bakal diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam kenyataan hari ini berkata pencalonan itu merupakan perancangan jangka panjang bertujuan menjadikan Kampung Laut sebagai pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘mesti lawat’ di Kelantan.

Projek pembangunan semula kampung berkenaan dilaksanakan di bawah ECERDC bertujuan menjana ekonomi menerusi aktiviti pelancongan, membantu penduduk tempatan meneruskan aktiviti ekonomi lain yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sekali gus menjana semula pertumbuhan sosioekonomi di kawasan sekitar.

Pengurus Besar Pejabat ECERDC Kelantan Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah menerusi kenyataan itu berkata keistimewaan projek itu kerana ia adalah pembangunan mampan yang turut meraikan dan memelihara budaya, warisan dan tradisi kampung tempatan.

“Kampung Laut bakal menjadi muzium hidup bagi masyarakat setempat berpeluang menjana pendapatan melalui aktiviti kebudayaan seperti persembahan wayang kulit dan permainan wau. Usaha ini akan menyuburkan kembali minat generasi muda menghidupkan kembali aktiviti kebudayaan seumpama ini,” katanya.

Loading...
Terkini