Tumpuan :
Nasional

Masjid anjur sambutan Tahun Baharu Cina

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan (lima kanan) dan Pengerusi Masjid, Mohd Aizul Adan (empat kanan) menggaul yee sang bersama masyarakat Cina pada program Mahabbah Tahun Baharu Cina di Masjid Zaid Bin Harithah. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini memberi pengertian lebih besar apabila gerbang Masjid Zaid Bin Haritsah di sini, dibuka seluas-luasnya menerima kehadiran pengunjung berbilang kaum yang mendiami kawasan sekitar.

Seperti sambutan majlis rumah terbuka perayaan lain, hadirin duduk semeja menikmati juadah, bermesra dan bergambar kenangan sebelum pulang.

Pengunjung turut menggaul yee sang sebagai simbolik kepada kemakmuran, tuah dan kebahagiaan sambutan Tahun Baharu Cina, selain menikmati limau Mandarin yang menjadi simbol utama perayaan berkenaan.

Majlis anjuran Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Mulia dan Kampung Lee Kong Chian itu turut dimeriahkan dengan sumbangan bakul makanan Foodbank Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kepada 20 penerima.

Sebahagian masyarakat Cina Kampung Lee Kong Chian dibawa meninjau bahagian mimbar masjid pada program Mahabbah Tahun Bahru Cina di Masjid Zaid Bin Harithah. – FOTO: NSTP

Pengerusi masjid berkenaan, Mohd Aizul Adnan, berkata sambutan julung kali diadakan itu adalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif bagi mengeratkan perpaduan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di kawasan sekitar.

Beliau antara lain berharap penganjuran sambutan itu memperkukuh jalinan saling menghormati dan membantu dalam kalangan penduduk.

“Kita bercadang menjadikan penganjuran sambutan berkenaan sebagai acara tahunan, selain berharap konsep ini dapat diperhebat dan diperluaskan ke masjid di kariah lain.

“Masjid boleh dijadikan sebagai tempat perhimpunan masyarakat berbilang kaum dan agama, selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.

“Selagi penganjuran program seperti ini berlangsung dalam keadaan baik dan mengikut ajaran, ia bukan masalah kerana kita mahu berkongsi mengenai keindahan Islam bersama kaum dan agama lain,” katanya.

Sambutan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Pegawai Tadbir Agama Zon 2 JAWI, Mohd Abd Nasir Abdullah dan Ketua PKR Cabang Wangsa Maju, Andre Ch Lai.

Mohd Aizul berkata, penganjuran sambutan berkenaan menerima maklum balas positif dalam kalangan orang ramai, sekali gus menjadi platform mengeratkan silaturahim.

“Kami sudah lama tidak menganjurkan acara yang mampu mengumpulkan penduduk dalam skala besar, malah memang ramai yang agak renggang akibat pemodenan.

“Mereka mengakui sambutan ini dapat kembali mengeratkan hubungan, selain mengimbau kenangan membesar bersama dalam kawasan kejiranan didiami pelbagai kaum sejak dahulu,” katanya.

Sementara itu, Andre berkata, keamanan dan keharmonian di negara ini wajar dikekalkan dan menjadi contoh kepada seluruh dunia.

Beliau berkata, perbezaan agama, budaya, adat dan perayaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk menjalin hubungan baik sesama kaum.

“Masyarakat Cina di sini sering mengundang kaum Melayu dalam pelbagai sambutan di kawasan sekitar dan kita sudah menjemput mereka menghadiri sambutan Chap Goh Mei pada 5 Februari ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini