Tumpuan :
Nasional

Masih trauma, lelaki tetap tampil jadi saksi demi keadilan mangsa nahas

Keadaan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Seremban malam tadi. – FOTO: Ihsan Polis

SEREMBAN: Meski masih trauma dengan kejadian membabitkan dua remaja maut dekat simpang lampu isyarat Matahari Heights, di sini, malam Khamis lalu, seorang lelaki akan tampil sebagai saksi demi keadilan mangsa.

Edy Noor Reduan, 44, berkata, pada malam kejadian dia sempat keluar dari kereta untuk membantu mangsa, namun keadaan ketika itu sangat mengerikan sebelum meninggalkan lokasi kerana tidak sanggup melihat mangsa.

FOTO: Ihsan Polis

“Saya dalam perjalanan dari Sikamat ke Dataran Senawang. Ketika berhenti di simpang lampu isyarat itu kereta saya yang paling depan di lokasi kejadian, saya nampak semuanya dengan jelas.

“Sejurus kemalangan, saya terus keluar dari kenderaan untuk membantu, namun berubah fikiran selepas melihat keadaan mangsa yang agak mengerikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia yang juga pekerja swasta berkata, sehingga hari ini dia masih terbayang-terbayang kejadian yang berlaku menyebabkannya sukar untuk tidur.

“Saya memang niat mahu tolong ketika itu, tetapi apabila saya tengok keadaan mangsa yang agak menggerikan, saya tidak berani dan masuk semula ke kereta sebelum tinggalkan lokasi.

“Waktu itu memang sudah ramai orang berlari ke situ. Sebelum ini saya pernah beberapa kali menyaksikan kemalangan depan mata, tapi kali ini ia betul-betul beri kesan kepada saya,” katanya.

Mengulas mengenai tindakannya yang tampil di media sosial dan berkongsi mengenai kejadian, Edy Noor berkata, dia rasa geram dengan kenyataan kakak pemandu Honda Jazz yang mahu menuntut keadilan buat adik lelakinya.

Justeru, katanya dia akan berjumpa dengan pihak polis kira-kira jam 10.30 pagi ini dan bersedia tampil sebagai saksi kejadian berlaku bagi memberi keadilan kepada mangsa meskipun ia menyebabkan dia trauma.

Jumaat lalu, dua remaja masing-masing berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dikatakan dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din dilaporkan berkata, Honda Jazz dipandu seorang lelaki berusia 18 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu.

Katanya, Honda Jazz berkenaan dikatakan gagal berhenti di lampu isyarat merah sebelum dipercayai merempuh dua motosikal yang turut menyebabkan pemandu dan penumpangnya serta seorang lagi penunggang motosikal parah.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan tampil membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini