KUALA LUMPUR: Masih banyak tandas di sekolah di seluruh negara berada dalam keadaan rosak sejak puluhan tahun lalu.
Teguran itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hasil dapatan diperoleh selepas pihaknya mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, supaya memeriksa keadaan tandas di sekolah di seluruh negara bagi memastikan murid mendapat kemudahan selesa.
Tambah beliau, pihaknya mahu murid turut memainkan peranan dengan dilatih bagi membersihkan tandas.
“Saya arahkan Menteri Pendidikan semak, dan dapati bahawa tandas di sekolah banyak yang rosak, berpuluh-tahun tidak ada siapa yang peduli.
“Sekarang saya kata bagaimana hantar anak kita ke sekolah tapi tandaspun tidak ada. Anak kita manusia bukan dewa yang tidak pergi ke tandas.
“Anak-anak mesti dilatih untuk bersihkan tandas, ia mengajar mengenai kebersihan, hormat orang termasuk yang cuci tandas. Muliakan nilai manusia yang bagi sumbangan,” katanya selepas merasmikan D’Anjung Selera Madani, Jalan Jujur, di sini.
Pada masa sama, Anwar juga mengimbau kenangannya sewaktu memikul tugas sebagai Menteri Pendidikan, yang mana ketika itu beliau mengarahkan pihak sekolah melakukan sistem penggiliran bagi membersihkan tandas.
Beliau berkata, ketika itu adanya ibu bapa dari golongan profesional dan golongan atasan menghubunginya bagi membantah tindakan terbabit.
“Ada ibu bapa kelas atasan hantar telegram kepada saya berkata, saya hantar anak saya belajar bukan untuk cuci tandas.
“Jadi saya bagitahu kalau anak kita dilatih untuk cuci tandas dia tahu bagaimana ibu dia buat kerja di rumah. Dia akan hargai tukang cuci di jalanan di tandas awam bahawa ada nilai kerja.
“Ia melatih perubahan sikap, kadang-kadang orang kelas atasan ini tidak ada langsung untuk rasa prihatin dan ehsan kepada golongan bawah,” katanya.
Beliau berkata, antara sebab kerajaan pimpinannya tekad menangani rasuah adalah berikutan wang yang diselamatkan itu juga boleh digunakan untuk membaiki jalan, lokasi perniagaan penjaja, sekolah dan tandas di institusi pendidikan.
Untuk rekod, Anwar menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986 hingga 1991 ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.