comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Masih ada yang sudi kutip sampah di jalanan

Oleh Azib Zikry Abdul Halim

PETALING JAYA: Aktiviti mengutip sisa sampah mungkin tampak remeh, tapi ia bakal membawa perubahan yang mampu mengubah dunia, satu hari nanti.

Itulah yang boleh digambarkan apabila sekumpulan sukarelewan, terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang menggembleng tenaga menyelamatkan hamparan sisa sampah yang ditinggalkan insan tidak bertanggungjawab.

Mereka berkumpul dalam satu program bulanan ‘Jom Tip Pah’ (Jom Kutip Sampah) yang dihoskan oleh sebuah badan kesukarelawanan alam sekitar.

Menurut Ts. Mohd Faisal Abdur Rani, Penasihat Pertubuhan Generasi Peduli Sampah Malaysia, aktiviti kutip sampah memang selalu diadakan tetapi ditinggalkan sekerat jalan.

“Aktiviti sebegini memang banyak, tetapi kebanyakannya mereka akan kutip dan terus buang tanpa mengasingkan sampah.

“Proses pengauditan sampah adalah penting untuk dilakukan, kerana sisa-sisa sampah seperti plastik, penutup botol, kaca dan sebagainya boleh dikitar semula,” kata Faisal lagi.

Para sukarelawan yang mengutip sampah bagai peribahasa serampang dua mata, kerana dikala mereka melakukan aktiviti pembersihan alam sekitar dapat juga memanfaatkan masa membina hubungan baru.

Menurut Ezuan Hakimi, 23, seorang pelajar kejuruteraan dari sebuah Universiti Awam cukup teruja kerana dapat turun padang, walaubagaimanapun cukup kecewa dengan sikap segilintir masyarakat yang membuang sampah merata-rata.

“Daripada melepak, dapat juga buat aktiviti-aktiviti sukarelawan alam sekitar yang memberi manfaat dan pengalaman baharu,” kata Ezuan.

Senada dengan itu, Aneesa Ariena, 23, yang sanggup meluangkan waktu hujung minggunya dengan melakukan aktiviti mengutip sampah merasakan mereka yang membuang sampah, tidak peduli akan hidup bermasyarakat.

“Kebanyakan mereka yang membuang sampah kurang kesedaran tentang alam sekitar dan pentingkan diri sendiri kerana merasakan ia tidak memberi kesan kepada mereka.

“Tapi mereka perlu fikir, kita hidup bermasyarakat, dan sikap membuang sampah ini sebenarnya akan memberi kesan jangka masa panjang,” tambahnya lagi.

Loading...
Terkini