DUNGUN: Orang ramai terus mengambil peluang mengutip kerang biarpun polis sudah mengeluarkan arahan supaya menghentikan aktiviti itu.
Biarpun jumlah kehadiran menurun berbanding kelmarin dan semalam, tinjauan mendapati, masih ramai yang terus melakukan aktiviti itu.
Penduduk, Mohd Zaki Abdullah, 45, berkata, dia tidak mengetahui berkaitan larangan dikeluarkan polis.
Menurutnya, dia datang ke pantai itu dan melihat orang ramai masih mengutip kerang yang banyak di sepanjang pantai.
“Semalam saya kutip kira-kira lima kilogram kerang. Saya rebus kerang itu dan anak-anak seronok memakannya.
“Bila lalu kawasan pantai ini, saya lihat orang ramai masih berada di pantai, saya pun turun mengutip dan dapat sekitar lima hingga enam kilogram,” katanya.
Ahmad Taufiq Ramzi, 40, berkata, dia yang juga mendakwa tidak tahu dengan larangan itu turut mengutip kerang.
“Saya bertolak dari Kijal, Kemaman dan sampai di sini, jam 11 pagi dan bila tengok masih banyak kerang sini, saya pun kutip.
“Selain untuk makan, saya turut menjual kerang ini pada harga RM10 sekilogram untuk tiga kilogram bagi tambah pendapatan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir mengeluarkan larangan mengutip kerang di sepanjang pantai itu.
Larangan itu dikeluarkan serta merta demi menjaga keselamatan orang ramai berikutan keadaan angin kencang dan ombak besar setinggi 4.4 meter.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.