Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
GOMBAK : Penduduk Kampung Tengah, Gombak meluahkan rasa tidak puas hati dengan masalah longgokan sampah yang membelenggu mereka sekian lama.
Setiap kali hujan, penduduk perlu berhadapan dengan sisa sampah yang dibuang mengalir ke kawasan kediaman mereka yang sekaligus menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk yang perlu berhadapan dengan masalah itu setiap hari.
Masalah longgokan sampah sebelum ini menjadi perhatian penduduk apabila tular di laman Facebook Asal Gombak.
Difahamkan, lokasi pembuangan sampah di kawasan yang teletak di tepi Jalan Gombak menghala Universiti Islam Antarabangsa UIA itu telah lama berlaku.
Buletin TV9 yang baru-baru ini meninjau ke lokasi terbabit mendapati, longgokan sampah berkenaan sedang dibersihkan pihak kontraktor Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Semasa tinjauan tersebut, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS, Norhayati Ahmad turut turun pandang bersama bagi meninjau kawasan tersebut.
Dakwa penduduk setempat, longgokan sampah yang wujud itu berpunca dari sikap tidak bertanggungjawab orang luar terutama segelintir peniaga yang suka mengambil kerja mudah dengan membuang sampah disitu.
“Tempat juga banyak tayar motor tidak terpakai dibuang disini. Kalau penduduk setempat buang sini tak ada masalah, sampah domestik tak banyak, tetapi bila orang luar peniaga ambil kesempatan begini la jadinya.
“Orang luar yang datang buang terutama peniaga buah seperti kelapa, durian dan tebu.” kata Rohaizi Abdul Ghafar, Penduduk Setempat.
Kewujudan aktiviti pembuangan sampah di kawasan tersebut turut didakwa mengundang kepada risiko kemalangan.
“Baru-baru ini saya cemas juga hampir terlanggar orang buang sampah disini, sebab saya memandang arah kanan untuk keluar simpang ke sebelah kiri. Saya tak nampak apa yang berlaku sini. Rupanya orang buang sampah.” kata penduduk setempat, Fauzi Mohd Noh.
Selain itu, kehadiran binatang berbisa seperti ular dan biawak menjadi kebimbangan kepada penduduk apabila kawasan tersebut dipenuhi sampah.
Penduduk menggesa permasalahan ini diselesaikan segera oleh pihak MPS, berikutan isu tersebut sudah lama membelenggu mereka sejak beberapa tahun lalu walaupun kutipan sampah telah dilakukan kontraktor.
Ini termasuk mewujudkan kawasan pembuangan sampah yang baharu dan selamat, selain menguatkuasakan pemantauan dan tindakan kepada mereka yang masih berdegil.
“Kalau boleh buat la pemantau, atau pihak MPS boleh letak CCTV sebagai salah satu cara memantau secara tak langsung kita boleh cegah dari pembuangan sewenang-wenangnya.” kata Johari Jaafar, Pengerusi MPKK Kg. Tengah
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Korporat MPS, Ahmad fauzi Ishak ketika dihubungi berkata, pihaknya mendapati lokasi tersebut yang dipenuhi dengan sabut kelapa, hampas tebu dan kulit durian dijadikan sebagai tempat pembuangan sisa pukal penjaja dan peniaga yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan untuk memastikan ia tidak berulang, kami telah meletakkan halangan barrier selain gantung banner amaran supaya pihak tidak bertanggungjawab itu tidak ulang perbuatan itu.”
“Kami akan berbincang dengan pihak JKR jika ada kesesuaian untuk pemasangan cctv supaya memudahkan pemantauan di kawasan tersebut.” katanya.
Selain itu, pihaknya turut mengingatkan kepada orang ramai terutama peniaga mematuhi syarat lesen dan memastikan sampah pukal dibuang di kawasan perniagaan, bukan di kawasan perumahan.