Tumpuan :
Nasional

Masalah projek PLSB Sungai Golok dibincangkan minggu ini

Foto NSTP – Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) mendengar penerangan mengenai benteng banjir daripada wakil penduduk, Mohd Yazid Abdullah ketika hadir Majlis Perjumpaan Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir serta penduduk mangsa banjir di Kampung Tersang, di Rantau Panjang, hari ini.

RANTAU PANJANG: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan mengadakan perbincangan dengan semua jabatan yang terbabit dengan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, di sini.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perbincangan itu akan diadakan minggu ini bagi mencari langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah banjir besar di Rantau Panjang yang didakwa berpunca daripada projek berkenaan.

Katanya, kementerian memandang serius isu banjir besar yang melanda hampir keseluruhan penempatan di Rantau Panjang dan berjanji akan mencari inisiatif secepat mungkin.

“Dari awal saya dilantik sebagai menteri, isu ini mula dibangkitkan ahli jawatankuasa bertindak, sekali gus menunjukkan keseriusan masalah yang perlu diberi lebih perhatian oleh kementerian.

“Sebelum ini, saya bersama ahli Parlimen dan EXCO negeri sudah membuat pertemuan bagi mendengar taklimat pembinaan PLSB Sungai Golok oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kontraktor yang berkenaan.

“Secara ringkas, projek ini diperlukan apabila ia sudah siap tetapi dalam tempoh pembinaan kita tidak mahu penduduk menjadi mangsa kerana kepentingan orang kampung juga perlu dijaga,” katanya ketika ditemui selepas turun padang bertemu penduduk terjejas banjir di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu, beliau turut mendengar taklimat berkaitan pembinaan projek terbabit termasuk kesan serta harapan penduduk, daripada Penasihat Teknikal Jawatankuasa Banjir, Dr Mohd Yazid Abdullah.

Nik Nazmi turut meluangkan masa melawat kawasan pembinaan benteng PLSB Sungai Golok yang didakwa menjadi faktor utama bah serta banjir termenung di sebahagian besar penempatan di Rantau Panjang.

“Saya juga mendengar permintaan penduduk untuk membuka laluan air bagi mengelak berlaku banjir besar, dan semua permohonan akan diusulkan dalam perbincangan pada minggu ini.

“Saya berharap rakyat memberi ruang untuk saya membantu menyelasaikan masalah ini bersama agensi lain yang terbabit agar peristiwa banjir besar tempoh hari tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata, isu kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat banjir dan peruntukan khas mangsa bah di Rantau Panjang juga akan dibincangkan dalam pertemuan berkenaan.

Katanya, pertemuan itu bukan sahaja membabitkan kerajaan negeri, tetapi juga JPS, pihak kontraktor, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan beberapa agensi lain.

Media sebelum ini melaporkan, hampir 100,000 penduduk daripada 62 kampung di sini, kecewa dengan pembinaan PLSB Sungai Golok yang dianggap gagal.

Susulan itu, lebih 500 penduduk yang terjejas banjir disebabkan projek itu menyertai demonstrasi aman bagi menyuarakan bantahan dan rayuan berhubung nasib mereka akibat bencana yang berlaku selepas pembinaan benteng terbabit pada 13 Januari lalu.

Loading...
Terkini