comscore
Tumpuan :
Nasional

Masalah pasport, tunggakan cukai punca rakyat Malaysia terkandas di sempadan

Keadaan sesak di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam berikutan peningkatan jumlah pelancong ke negara jiran – FOTO: Ihsam JIM

ALOR SETAR: Pelancong Malaysia yang merancang untuk bercuti ke Thailand terkandas di pintu sempadan disebabkan masalah pasport rosak, tunggakan cukai pendapatan, cukai kastam serta kes jenayah lama yang belum diselesaikan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata masalah berkenaan dikesan menerusi data diperoleh daripada Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

“JIM telah mengesan 10 kes melibatkan pasport rosak antaranya terkoyak, terkena air, hilang muka surat dan terdapat contengan pada pasport berkenaan.

“Terdapat juga 20 kes berkaitan tunggakan cukai (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan sembilan kes melibatkan isu kastam, menjadikan perjalanan rentas sempadan ini lebih mencabar untuk mereka yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelakkan kekecewaan pada saat akhir, rakyat Malaysia diseru menyemak status perjalanan mereka di portal Sistem Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) sebelum membuat sebarang perancangan ke luar negara.

“Semakan awal status perjalanan merupakan langkah penting bagi memastikan percutian dirancang tidak terganggu oleh perkara-perkara tidak diingini,” katanya.

Mohd Ridzzuan berkata orang ramai hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan di portal SSPI untuk mengetahui jika ada sebarang sekatan dikenakan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini