Tumpuan :
Nasional

Masalah parkir Hospital Selayang selesai

Oleh: Izzatie Rizan

SELAYANG: Bertahun-tahun mengalami masalah parkir penuh, pengunjung Hospital Selayang boleh menarik nafas lega apabila masalah itu diselesaikan menerusi pembinaan sistem parkir mekanikal yang kini diguna pakai di hospital itu.

Rata-rata pengguna yang ditemui Buletin TV3 mendakwa tidak perlu lagi pusing keliling atau ‘tawaf’ hampir sejam semata-mata berebut mendapatkan parking.

Bermula 1 Jun lalu, hospital ini muncul hospital pertama menggunakan teknologi parkir bergerak bertingkat.

Salah seorang pengunjung, Nor Nadirah Dakir berkata, pengenalan sistem parkir mekanikal mampu mengatasi masalah hospital kerajaan khususnya di Selangor yang menghadapi masalah menguruskan parkir saban hari.

“Saya sebagai pesakit kalau nak dapatkan parkir memang susah, kadang-kadang terpaksa ‘double park’…atau pun terpaksa bawa ahli keluarga untuk ‘jaga’ parking.

“Memang sangat leceh, baguslah ianya sudah ditambah baik sebab ramai pesakit yang membuat rawatan susulan di hospital ini. Bila dah ada parkir macam nie memang senanglah kami,” katanya.

Pendapat sama disuarakan seorang pesara, R. Vellmurugen.

“Kalau ada temujanji di hospital, saya selalu runsing sebab kawasan letak kenderaan tak cukup, sudahnya pesakit asyik fikirkan keadaan kenderaan yang parkir di luar…kene geser ke apa. Sekarang dah lega,” tambahnya.

Sementara itu, pengarah syarikat yang membangunkan sistem parkir mekanikal berkenaan, Mohamad Faiz Mohd Bashir berkata, inisiatif itu memendekkan tempoh masa pengguna meletakkan kenderaan di hospital.

“Pengunjung yang datang boleh terus datang masuk ke mekanikal parkir, tekan no dan kereta akan naik ke atas…dan untuk ambil kereta semula hanya dalam tempoh masa lebih kurang dua minit sahaja,” jelasnya.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata inisiatif ini akan diperkenalkan di hospital-hospital lain sekitar Selangor tidak lama lagi, sekali gus dapat memberi keselesaan serta manfaat buat pengunjung.

Loading...
Terkini