KOTA BHARU: Peruntukan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan hanya membabitkan kos RM1.5 bilion sahaja, bukannya RM8 bilion sebagaimana yang dimohon oleh Kelantan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata sehingga kini kapasiti loji rawatan air di Kelantan adalah 500 juta liter air sehari dan keperluan air adalah sekitar 600 juta liter sehari.
“Justeru kita pertimbang untuk tambahan satu lagi loji rawatan air di Kelantan yang membolehkan air disalurkan sebanyak 700 juta liter air sehari.
“Namun apa yang mengejutkan apabila kerajaan negeri Kelantan membentangkan sebelum ini memohon sehingga RM8 bilion dengan tambahan lima loji rawatan air.
“Kenapa perlu sehingga lima loji rawatan air sedangkan kita hanya perlu tambah satu sahaja untuk menampung keperluan air penduduk dan peruntukan yang diperlukan hanya RM1.5 bilion sahaja, bukan RM8 bilion sebagaimana yang diminta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jelajah Madani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh, di sini, hari ini.
Rafizi berkata, peruntukan RM1.5 bilion itu kini masih lagi dalam peringkat perbincangan sama ada dimasukkan dalam bajet tahun hadapan atau tahun akan datang.
“Peruntukan RM1.5 bilion ini tidak termasuk dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengumumkan peruntukan RM500 juta dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebanyak RM1 bilion.
“Ini adalah peruntukan tambahan daripada yang diumumkan sebelum ini. Namun untuk permintaan Kelantan, mustahil kerajaan beri peruntukan sehingga RM8 bilion kerana kapasiti loji rawatan air hampir mencukupi,”katanya.