KULAI: “Sudah lama kami berdepan dengan masalah air di Kampung Bukit Permai di sini, sudah hampir 50 tahun,” kata Zakaria Khalid.
Zakaria, 60, yang juga Ketua Kampung Bukit Permai berkata situasi terburuk yang dialami penduduk akibat ketiadaan air adalah ketika Hari Raya Aidilfitri lalu.
Katanya beberapa kawasan kampung berdekatan membabitkan lebih 1,000 buah rumah tiada air pada pagi 1 Syawal, sehingga ada di antara penduduk tiada juadah raya atas meja kerana kesukaran untuk memasak.
“Kalau penduduk sini sudah biasa, air kejap ada, kejap tak ada, dalam tempoh 50 tahun. Tetapi bila hari raya ramai anak-anak perantau, menantu, cucu yang tidak biasa dengan keadaan ini pasti tak selesa.”
“Saya sedih bila pagi raya air terus kosong, setitik air pun tiada keluar dari paip air. Mana pergi air itu?. Ada penduduk yang hubungi saya, nak mandi, basuh muka pun tiada air.”
“Kita memang tidak sangka air tak ada waktu raya sebab petang sebelum raya air memang kuat. Ranhill SAJ tidak bagi sebarang pemberitahuan langsung mengenai ketiadaan air. Kalau bagi pemberitahuan sekurang-kurangnya penduduk kampung bersedia. Kecewa betul kami.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor ke Felda Bukit Permai di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Kampung Murni Jaya, Mohd Azam Saadon berkata penduduk kampungnya juga mengalami masalah sama.
Katanya ketiadaan air kritikal dihadapi penduduk terutama Kampung Tersusun yang mana kedudukannya lebih jauh.
“Masalah air paip tiada memang sudah lama. Bekalan tangki dan air tiada masalah, ada bantuan dari Ranhill SAJ.”
“Kawasan ini ramai juga penduduk yang berusia, mereka semestinya mempunyai kekangan tenaga untuk mengangkut air dari tangki.”
“Ahli jawatankuasa kampung memang akan membantu penduduk yang tiada upaya seperti warga emas. Tetapi kalau masalah ini terus berpanjangan, kita kecewa.”
“Kita harap sangat Ranhill SAJ buat tindakan drastik untuk selesaikan masalah ini. Saya ikut taklimat yang diberikan sebelum hari raya, tetapi tindakan jangka masa pendek dan panjang, saya lihat gagal. Saya tidak nampak ada kejayaan.”
“Ranhill SAJ perlu kaji apakah punca masalah air di kawasan ini. Kenapa tidak dapat disalurkan seperti biasa menerusi paip?. Orang kampung hendak tahu apa punca dan penyelesaiannya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jafni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri memaklumkan, dua minggu sebelum Syawal, Ranhill SAJ memberi komitmen bekalan air tidak akan terputus di kawasan ini, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Katanya bukan sahaja kediaman tetapi kedai dan masjid juga tiada air, dan hanya bergantung kepada air tangki statik.
“Hari ini sumber bekalan air semakin pulih dan hampir keseluruhan rumah di Gugusan Murni Jaya, Kg Sri Muar, Felda Bukit Permai dan Kampung sekitar sudah ada bekalan air.”
“Tapi ada 100 rumah di Kampung Agas di Felda Bukit Permai 40 buah, di Kampung Sri Muar dan Kampung Sungai Sayong 1 dalam 28 buah dan di Kampung Tersusun di Murni Jaya masih bergantung pada lori tangki untuk dapatkan bekalan air.”
“Kali ini adalah paling teruk, membabitkan kawasan sempadan Renggam hingga Bukit Permai, ia membangkitkan rasa kecewa dan marah penduduk.”
“Ada satu dua kes lori tangki yang bekalkan air dikesan mempunyai bau yang tidak boleh digunakan air tersebut untuk memasak.”
“Sepatutnya sebagai operator air, Ranhill SAJ seharusnya mengeluarkan notis pemberitahuan awal ketiadaan air kepada penduduk kampung. Kita rasa Ranhill SAJ gagal dalam melaksanakan komitmen mereka,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.