Tumpuan :
Nasional

Masak air banjir buat susu anak

Muzipah Che Muda, 54, menunjukkan air banjir digunakan untuk dimasak dan diminum kerana tidak ada sumber air bersih selepas terkepung banjir sejak tiga hari lalu. – FOTO: Ihsan Muzipah

RANTAU PANJANG: Masak air banjir untuk minum selain digunakan untuk membuat susu si kecil kerana tiada bekalan air bersih diterima sejak dua hari lalu.

Itu tindakan terpaksa dilakukan 62 mangsa yang kini berlindung di sebuah rumah di Kampung Tasek Bakong, di sini.

Mangsa mendakwa, kawasan berkenaan terkepung dengan semua jalan masuk tenggelam dek banjir.

Muzipah Che Muda, 54 berkata buntu memikirkan air minuman yang tidak kunjung tiba menyebabkan mereka mengambil keputusan menggunakan banjir sebagai sumber air yang direbus sebelum diminum.

Mereka sedar kesan tindakan itu tetapi sudah tiada cara lain kerana ramai kanak-kanak sudah merengek kehausan, begitu juga orang dewasa yang sudah tidak minum sejak beberapa jam.

“Malah, air ini juga kami gunakan untuk memasak secara bergotong-royong. Besar harapan kami supaya ada pihak yang masuk untuk menghantar bantuan air bersih buat kami di sini.

“Kami tahu kawasan penempatan ini agak sukar diakses, oleh itu kami mencari ikhtiar lain terlebih dahulu dengan hanya tawakal sahaja semoga air yang diminum tidak memudaratkan.

“Semua mangsa berkumpul di rumah milik salah seorang penduduk yang tidak dimasuki air tetapi halamannya digenangi banjir separas 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Mohd Yatin Mat Yaacob, 46, memberithau kesemua mangsa terpaksa tidur berhimpit manakala sesetengah kumpulan lelaki tidur di dalam kereta kerana tidak cukup ruang di dalam satu rumah.

“Kami tidak ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana sudah terlalu ramai dan penuh. Tambahan pula, hanya rumah ini yang tidak dimasuki air di sini.

“Ada antara mangsa yang kediaman mereka hanya tinggal bumbung sahaja, namun kami reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya.

Generator juga terpaksa diguna bagi mendapatkan bekalan elektrik terutama untuk mengecas telefon bimbit kerana elektrik sudah ditutup sejak banjir melanda.

Loading...
Terkini