Tumpuan :
Nasional

Masa elemen paling penting dalam menyelesaikan kes orang hilang – Polis 

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu tahu bahawa masa adalah elemen paling penting bagi menyelesaikan kes membabitkan Orang Hilang (OH).

Justeru Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata orang ramai tidak perlu menunggu sehingga 24 jam sebelum membuat aduan berhubung kes OH.

Katanya mengambil contoh beberapa kes yang terjadi baru-baru ini membuktikan dalam masa singkat sahaja mangsa terbabit dilarikan jauh dari lokasi akhir mereka.

“Saya ada terima arahan daripada Tan Sri IGP (Ketua Polis Negara) bila ada orang datang buat laporan kita kena terima kerana ‘masa’ adalah elemen penting.

“Contoh secara ringkas, tubuh badan (manusia) boleh tahan 24 jam dan bila tubuh sudah mula mereput (ia) akan menyukarkan (siasatan).

“Itu satu, yang kedua pengesanan itu kita perlu lakukan dengan pantas kerana (ia) boleh hilang sekarang tahu-tahu dah sampai sempadan, ini contoh,” katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Jelasnya setiap laporan yang diterima akan diproses dinilai secara teliti oleh anggota dan pegawai polis sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.

Katanya, ia berikutan jumlah aduan yang agak kerap diterima berkaitan OH yang diterima bagaimanapun sebenarnya hanya salah faham antara keluarga atau kenalan.

“Sekarang keluar rumah tidak dapat dihubungi, hilang; bergaduh dengan girlfriend (teman wanita) tidak dapat dihubungi, hilang; kena marah dengan emak, hilang.

“Sebab itu kita akan tengok (nilai) berdasarkan kes, tetapi untuk menentukan OH terbabit selamat akan terima (setiap) laporan dan siasat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini