Tumpuan :
Nasional

MAS cadang tambahan dua jurulatih renang

Naib Presiden Renang Malaysia (MAS), Marilyn Chua (kanan)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) merancang untuk merekrut dua jurulatih tambahan termasuk seorang dari Denmark bagi memperkukuh pasukan kebangsaan sebagai sebahagian daripada strategi untuk memulakan musim 2025 dengan lebih mantap.

Naib Presiden MAS Marilyn Chua bagaimanapun berkata bahawa perbincangan masih diteruskan untuk menentukan calon tempatan yang akan dipilih sebagai seorang lagi jurulatih.

“Kami akan mendapatkan seorang lagi jurulatih asing dari Denmark yang sepatutnya bermula tahun ini. Namun, kami kini sedang memuktamadkan urusan visanya. Selain itu, kami juga bercadang mendapatkan seorang lagi jurulatih tambahan untuk 2025.

“Secepat mungkin kerana pasukan kita lebih besar dan kita pasti memerlukan memerlukan lebih ramai jurulatih,” katanya kepada wartawan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan bahawa perenang skuad pelapis kebangsaan Muhammad Dhuha Zulfikry telah dinaikkan ke program podium sepenuh masa selepas menunjukkan prestasi cemerlang dengan meraih enam pingat emas dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak untuk Wilayah Persekutuan.

Empat daripada kemenangan tersebut turut mencatat rekod baharu bagi temasya dwitahunan itu.

Selain itu, Chui Lai Kwan dan Hii Puong Wei telah dipilih menyertai program podium separuh masa disebabkan faktor usia mereka yang lebih senior.

Namun, mereka masih akan mempunyai akses kepada kemudahan di MSN dan terus mewakili negara dalam pertandingan tanpa menerima pembiayaan penuh seperti elaun di bawah program podium.

Setakat ini, seramai 10 perenang kebangsaan termasuk Muhammad Dhuha berada dalam program podium sepenuh masa manakala empat lagi perenang adalah sebahagian daripada program podium separuh masa.

— BERNAMA

Loading...
Terkini