Oleh : Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata ketika rondaan Op Makmur dan Op Tipis dijalankan, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan dan sedang menuju ke Kuala Kuantan.
Katanya, penahanan itu dibuat pada kedudukan kira-kira 23.1 batu nautika dari tenggara, Tanjung Tembeling kira-kira jam 1.20 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat lima orang kru termasuk tekong warga Myanmar berusia lingkungan 36 hingga 44 tahun berada di atas bot dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanandan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki permit yang meragukan.
“Bot serta dua bidang pukat, dua papan tunda, 70 kilogram (kg) gamat, 10kg ikan campur, tekong serta empat kru ditahan dan dibawa ke Jeti Penerpa, Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengusaha bot pukat tunda untuk mematuhi syarat sah lesen dikeluarkan Jabatan perikanan dan memastikan kru warga asing telah mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah jabatan berkenaan seperti ditetapkan dalam syarat lesen bot.
Orang awam juga diminta memberikan kerjasama dalam melaporkan sebarang kejadian yang menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian 09-5717345 atau talian kecemasan MERS 999.