BINTULU: Akibat tidak mendaftarkan proses pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran kapal, sebuah bot tunda ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika memasuki kawasan perairan dekat sini.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tunda itu ditahan pada kedudukan 7.5 batu nautika arah timur laut Tanjung Kidurong, pagi tadi.
“Ketika sedang melakukan rondaan dalam rondaan OP PERMAI 01/2019, bot peronda Maritim Malaysia telah terserempak dan seterusnya melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang dalam pelayaran menuju perairan Bintulu yang dikendalikan oleh tujuh kru warga tempatan dalam lingkungan umur 35 hingga 50 tahun.
“Melalui pemeriksaan awal, bot tunda itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Kesalahan Vesel di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu beroperasi tanpa pemakluman bertulis kepada pendaftar kapal berhubung pertukaran nama nakhoda di dalam sijil pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bot tunda berkenaan serta kru ditahan sebelum diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu untuk tindakan lanjut.
Katanya, Maritim Malaysia turut mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang ketika melakukan sebarang aktiviti di laut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.