Tumpuan :
Nasional

Maritim Malaysia tahan 74 VNA ceroboh perairan negara dalam tempoh 10 bulan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

PUTRAJAYA: Sebanyak 74 vesel nelayan asing (VNA) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas menceroboh perairan negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga menjaga perairan negara daripada segala ancaman jenayah di laut.

“Dari jumlah itu, nelayan Vietnam mencatatkan tangkapan tertinggi dengan 46 kes, diikuti oleh 15 kes nelayan Indonesia, 12 kes nelayan Thailand, dan satu kes nelayan China.

“Selain mengawal pencerobohan nelayan asing, Maritim Malaysia juga berjaya membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negara dengan 151 kes direkodkan setakat Oktober lalu.

“Kes penyeludupan tertinggi adalah melibatkan kes penyeludupan petrol (46 kes), penyeludupan barangan kawalan (30 kes), diikuti diesel (15 kes) dan tong gas LPG (11 kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa seluruh rakyat Malaysia bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak agensi ini sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.

“Keselamatan di laut adalah tanggungjawab bersama. Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan operasi pengawasan serta memperhebatkan usaha memerangi sebarang kegiatan yang boleh mengancam keselamatan perairan negara,” katanya.

Terdahulu beliau bersama pegawai kanan APMM serta lebih 80 pengamal media tempatan menjalani Ujian Kemahiran Menembak Senjata Api Kecil di Lapang Sasar Shapadu, di sini, sempena Hari Bersama Media Maritim Malaysia Tahun 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini