comscore
Tumpuan :
Nasional

Maritim Malaysia tahan 4 bot nelayan asing

FOTO: Maritim Malaysia

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing menahan empat bot nelayan asing bersama 19 kru selepas disyaki memasuki perairan negara tanpa kebenaran, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, keempat-empat bot dan semua kru berusia antara 26 hingga 67 tahun itu ditahan di kedudukan 9.7 batu nautika timur laut Pulau Pemanggil di sini, kira-kira pukul 1 tengah hari.

“Pemeriksaan terhadap empat bot nelayan asing itu mendapati ia dikendalikan 19 kru termasuk tekong terdiri daripada 11 warga Thailand, tujuh warga Myanmar dan seorang warga Kemboja dengan kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, keempat-empat bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen bertulis bagi kebenaran memasuki perairan perikananan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua kru, empat bot dan peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Maritim Pos Teluk Gading, Pahang untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini