![](https://media.buletintv3.my/2025/02/SAIFUDDIN.jpg)
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan dibekalkan beberapa aset seperti kapal peronda luar pesisir (OPV) yang boleh memuatkan helikopter, selain pesawat baharu untuk memperkukuh keupayaannya dalam melaksanakan tugas pemantauan maritim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sehingga kini proses perolehan sedang dilaksanakan untuk membekalkan kapal baharu termasuk dua kapal misi pelbagai guna (MPMS) serta empat kapal peronda generasi baharu (NGPV) bagi kegunaan agensi itu.
Maritim Malaysia juga katanya akan dibekalkan empat helikopter jenis Augusta Westland AW189 Medium Lift yang dijangka diterima pada 2026.
![](https://media.buletintv3.my/2025/02/HELIKOPTER.jpg)
“Dalam memastikan aset sedia ada beroperasi secara optimum, Maritim Malaysia turut melaksanakan Program Repowering serta Ship Life Extension Programme (SLEP) bagi memanjangkan jangka hayat kapal dengan kos lebih efektif.
“Penggunaan dron dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) turut diperluas bagi mengawasi kawasan laut yang sukar diakses, sejajar Pelan Strategik Maritim Malaysia 2023-2033 yang memberi penekanan pemodenan aset serta peningkatan kecekapan operasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di sini, hari ini.
Terdahulu, kira-kira 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia, dengan orang ramai teruja menyaksikan demonstrasi pasukan berserta aset Maritim Malaysia.
Tambah Saifuddin, Maritim Malaysia akan turut memperluas pemasangan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) ke kawasan strategik bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan perairan negara secara masa nyata.
Ketika ini, dua zon SWASLA beroperasi iaitu di Lumut, Perak bagi memantau perairan Selat Melaka dan di Sabah untuk mengawasi kawasan Pantai Barat negeri itu.
Beliau menjelaskan, pengukuhan teknologi pemantauan itu menjadi sebahagian usaha kerajaan meningkatkan keselamatan perairan negara.
“Pemasangan radar SWASLA akan meliputi kawasan strategik dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ aktiviti jenayah maritim seperti penyeludupan dadah, migran dan barangan bercukai.
“Perancangan baharu akan menyaksikan sistem ini diperluaskan ke perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung, bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal di perairan negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya kerajaan meluluskan beberapa projek fizikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi 2025 termasuk pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Salak Tinggi, pembinaan Pejabat dan Jeti Operasi Maritim Negeri Sabah dan Labuan di Teluk Sepanggar serta Jeti Pos Batu Putih di Perlis.
“Selain itu, sebuah Stesen Udara Maritim akan dibina di Sandakan, Sabah manakala kerja naik taraf jeti sedia ada turut giat dilaksanakan bagi menampung keperluan aset operasi Maritim Malaysia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.