PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima sebuah kapal induk baharu buatan Turkiye, sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pertahanan dan penguatkuasaan maritim negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS), adalah satu keputusan tepat kerajaan dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Bagi pembinaan kapal tersebut, syarikat Desan Shipyard dari Turkiye telah dipilih berdasarkan merit, selain kepakaran dan keupayaan syarikat berkenaan dalam industri pertahanan negara itu yang diiktiraf di peringkat global.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia yang diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman dengan pihak Turkiye yang diwakili Pengerusi Lembaga Desan
Shipyard, Mr. Cenk Ismail Kaptanoğlu.
Majlis yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya semalam disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Hadir sama pegawai kanan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negara (KLN).
Beliau menegaskan, perolehan kapal MPMS itu menandakan satu lonjakan besar dalam keupayaan operasi Maritim Malaysia.
Kapal berteknologi tinggi itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun 2027 dan bakal menjadi aset penting dalam mengawal perairan negara.
“Dilengkapi spesifikasi canggih, MPMS mampu beroperasi selama 30 hari tanpa henti, selain dilengkapi aset moden iaitu empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV) serta turut mempunyai, helideck, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.
“Kapal yang berukuran 99 meter panjang serta boleh membawa 70 orang kru dan 30 orang penumpang ini, akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, khususnya dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram serta membanteras jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia,” tambahnya.
Pemeteraian perjanjian itu sejajar dengan usaha Malaysia untuk memperkukuh keselamatan maritim menerusi kerjasama antarabangsa.
“Termeterainya perjanjian ini, Maritim Malaysia optimis hubungan dua hala antara Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan maritim akan terus diperkukuh, sekaligus memberi manfaat besar kepada keselamatan dan kestabilan perairan negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.