GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini dalam perjalanan dari Indonesia bagi membawa pulang dua lelaki yang ditemukan selamat di perairan itu.
Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, bersama rakannya Nor Hasrul Abdullah, 25, sebelum ini dilapor hilang selepas bot yang mereka naiki hanyut di perairan Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau di sini, kira-kira jam 11.30 malam, Selasa lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, sejurus menerima maklumat terkini, kapal KM Burau diarahkan serta merta ke koordinat di sempadan perairan bagi tujuan pengambilan mangsa.
“Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat dan stabil serta dalam perjalanan pulang dari Indonesia ke Malaysia, hari ini.
“Perjalanan menjangkau hampir 60 batu nautika itu akan mengambil masa bagi tiba di perairan Malaysia dengan mengambil kira faktor cuaca di laut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Razali berkata, mangsa sempat berkomunikasi dan memaklumkan kepada anggota penguatkuasa bahawa mereka dalam keadaan baik dan masih selamat.
“Mereka dijangka tiba di perairan Malaysia awal pagi esok dengan menaiki kapal Maritim Malaysia,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.