Oleh: Kumaran Rajamoney
KUALA KANGSAR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menjenamakan semula durian jenis MDUR 88 kepada nama baharu, MARDI Super 88 (MS88), sebagai langkah memperkenalkan durian premium Malaysia di pasaran antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata durian ini merupakan hasil kajian selama 15 tahun dan pertama kali diperkenalkan pada tahun 1992.
“Penjenamaan ini adalah usaha memperkenalkan durian premium Malaysia serta membuka peluang komersial yang lebih luas.
MARDI Kuala Kangsar memainkan peranan penting sebagai pusat penyelidikan untuk membangunkan varieti baharu, termasuk durian, bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang bernilai berbilion ringgit,” katanya.
Menurut beliau, MS88 mempunyai rasa setanding durian premium lain seperti black thorn dan kini ditanam secara meluas di seluruh negara.
“Setakat ini, kira-kira 8,000 pokok durian MS88 ditanam oleh petani kecil bagi memenuhi permintaan eksport, terutama ke China. Walaupun terdapat persaingan daripada Thailand dan Vietnam, kita yakin durian Malaysia tetap menjadi pilihan utama di sana, dengan pasaran yang masih luas setiap tahun,” katanya selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di MARDI Kuala Kangsar, hari ini.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah MARDI, Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, dan Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail.
Keistimewaan MS88
Durian MS88 mempunyai beberapa kelebihan, termasuk:
Rasa: Lemak manis dengan isi tebal.
Kualiti Buah: Lambat merekah, memudahkan penyimpanan dan mengekalkan kualiti isi lebih lama.
Tahan Penyakit: Dibangunkan melalui teknik penghibridan dan pemilihan teliti, memberikan daya tahan setanding dengan varieti premium lain.
Sesuai untuk Eksport: Ciri ketahanan dan jangka hayat panjang menjadikannya ideal untuk pengangkutan dan pasaran antarabangsa.
Mohamad Sabu turut memaklumkan bahawa Kementerian dan MARDI memberikan galakan kepada petani untuk menanam MS88, termasuk menyediakan benih secara percuma.
Langkah itu dijangka membantu kestabilan pengeluaran dan memenuhi permintaan pasaran yang terus meningkat, khususnya di peringkat global.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.