Oleh: Vinsla Santiran
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan berkompromi dan memilih bulu dalam menangani isu peminjam yang gagal membayar balik pinjaman serta tindakan tegas wajib diambil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu kerana MARA memerlukan modal pusingan untuk memberi peluang kepada peminjam lain memajukan bidang masing-masing.
“Jadi dalam perkara ini kita tidak memilih bulu untuk mengambil tindakan kerana ini ialah wang rakyat dari pembayar cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara MARA Incorporated Sdn. Bhd. bersama Felcra Berhad dan Privabytes Sdn. Bhd di sini, hari ini.
Ujarnya, MARA sebelum ini berjaya menurunkan peratusan pinjaman tidak berbayar yang melebihi 10 peratus.
”Kini menurun kepada single digit (satu angka) walaupun kita belum berpuas hati namun kita mempunyai usaha-usaha bukan sahaja memberi pinjaman tetapi melakukan penyeliaan, latihan dan membuat tindakan susulan.
“Memang terdapat dalam kalang peminjam itu yang dalam kategori ‘defaulters’ memang ada, dan tidak merujuk kepada individu, kumpulan ini memang ada,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, pelbagai barangan milik pelakon Rozita Che Wan bernilai hampir RM100,000 disita pihak mahkamah, semalam.
Difahamkan, tindakan sita itu dilakukan selepas Rozita atau lebih dikenali sebagai Che Ta gagal membayar hutang MARA berjumlah hampir RM1 juta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.