Tumpuan :
Nasional

MARA tidak akan berkompromi isu buli di MRSM

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak akan sesekali berkompromi dengan perbuatan buli dan pukul terutama yang berlaku dalam kalangan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata masalah itu perlu diubati secara holistik, susulan kes penahanan 5 pelajar MRSM Balik Pulau, khamis lalu.

“Hakikatnya yang perlu diketahui bahawa MARA tidak pernah berkompromi dan tidak sesekali memandang enteng perbuantan buli dan pukul yang berlaku di kalangan pelajar MRSM.

“Ini harus dianggap sebagai satu penyakit yang perlu diubati secara holistik dan perlu ditangani oleh semua pihak khususnya para pendidik, para warden di peringkat MRSM,” katanya kepada Buletin TV3.

Tegas beliau, pelajar yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang sehingga diberhentikan pengajian mereka di MRSM.

Namun, katanya pelajar yang berkemungkinan berhadapan dengan tindakan berkenaan harus diberikan hak untuk mendapatkan pendidikan di tempat lain.

“Saya melihat ini adalah perkara yang terpencil bukan suatu yang lumrah dalam MRSM tetapi kita memandang serius perkara ini .

“Mereka yang didapati terlibat boleh dikenakan tindakan sehingga diberhentikan pengajian mereka di MRSM .

“Walaupun begitu, kita harus memberikan hak untuk mereka mendapat pendidikan tetapi tidak dalam konteks MRSM, mereka boleh mendapat pengajian di tempat-tempat lain,” katanya.

Tambahnya, perkara itu perlu ditangani untuk memastikan produk MRSM mempunyai keterampilan dari segi sahsiah.

“Yang paling mustahak, isu ini tidak boleh dipandang enteng dan harus ditangani secara serius.

“Kita harus memastikan generasi yang kita nak bangunkan dalam konteks MRSM adalah generasi pelajar yang mempunyai keterampilan dari segi sahsiah,” katanya.

Loading...
Terkini