Tumpuan :
Nasional

MARA tambah baik kontrak untuk pastikan keselamatan, kesihatan pelajar terjamin

Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah mengambil langkah untuk menambah baik syarat kontrak dengan kontraktor yang terlibat bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar di Institut Pendidikan MARA (IPMa) terus terjamin.

Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan terhadap kontraktor yang didapati cuai dalam menjaga kebajikan pelajar.

“Soal makanan ini, kami telah memberikan mesej yang jelas kepada kontraktor. Malah, kami telah menambah baik terma kontrak dengan mereka.

“Jika berlaku kecuaian atau perkara yang boleh mengancam kesihatan dan keselamatan pelajar, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan, sebagaimana yang telah dilakukan terhadap kontraktor susulan serbuan kami sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, kontraktor yang dilantik perlu mengutamakan kesejahteraan pelajar dan tidak semata-mata mengejar keuntungan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penutupan dewan makan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping berikutan kejadian keracunan makanan pada Ogos tahun lalu.

Tambahnya, tindakan perundangan terhadap kontraktor yang terlibat kini sedang berjalan di mahkamah.

Beliau dengan tegas menyatakan pihaknya tidak akan mempertimbangkan sebarang rayuan daripada kontraktor yang telah ditamatkan kontrak atau yang telah diheret ke muka pengadilan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa proses saringan kontraktor yang terlibat adalah berdasarkan tatakelola yang ketat serta prosedur perolehan yang terperinci.

“Saya sendiri tidak terlibat dengan pemilihan kontraktor, kami mengikuti tatakelola, tatacara kewangan, dan perolehan yang ketat.

“Maknanya, prosedur perolehan itu dijalankan sebagaimana yang dipersetujui oleh majlis dan juga Kementerian Kewangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini